Saturday, February 16, 2013

[BM] Kertas Soalan Penilaian 1

Nama: __________________ (    )
Tingkatan: _____
Markah: ____

Masa: 2 jam              

Soalan 1: Karangan Berpandukan Bahan Rangsangan (30%)

Lihat gambar di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang kesan-kesan banjir terhadap masyarakat setempat. Panjang huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.


- memusnahkan harta benda
- menjejaskan aktiviti sosial dan ekonomi
- menyebabkan penyakit merebak

Soalan 2(a): Rumusan (30%)

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kelebihan plastik mesra alam dan halangan-halangan untuk menggunakannya. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

      Masalah pencemaran alam sekitar akibat penggunaan meluas plastik sukar terurai bakal diatasi menerusi penghasilan plastik yang boleh larut dalam air pada kadar segera. Plastik mesra alam ini tercipta hasil daripada kajian sekumpulan penyelidik dari Universiti Teknologi Petronas (UTP) bagi mengurangkan kesan pencemaran plastik yang diperbuat daripada bahan petroleum dan mengambil masa hampir 100 tahun untuk terurai.

      Produk yang dikenali sebagai Greenphylic itu dihasilkan menggunakan bahan polimer sintetik yang diperbuat daripada Polyvinyl Alcohol (PVA) berciri larut air. Tiga ujian kejuruteraan dijalankan dalam penghasilan produk berkenaan mempunyai tahap larut air dan ketegangan serta ujian kelarutan air. Berdasarkan ujian itu, didapati produk berkenaan mempunyai tahap larut air yang tinggi. Selain itu, produk ini mempunyai tahap ketegangan dan ketahanan haba yang tinggi, iaitu sehingga 200 darjah celcius.

      Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik UTP berkata, plastik yang diperbuat daripada bahan PVA 225 keluaran syarikat Kuraray Inc. Jepun itu bukan sahaja mesra alam malahan menjimatkan kos. Penggunaan sumber tenaga untuk pelupusan sampah juga dapat dikurangkan.

      Setakat ini, plastik mesra alam Greenphylic ini digunakan dalam menghasilkan pek ubat, beg pelupusan barangan perubatan, beg sampah dan beg pembungkusan. Ketika ini, plastik digunakan secara meluas di seluruh dunia untuk pelbagai tujuan, iaitu pembungkusan, menyimpan makanan, bekas minuman dan beg sampah. Jika penggunaan bahan plastik yang lambat terurai diteruskan, sampah daripada bahan berkenaan akan semakin bertambah dan mengakibatkan lebih banyak pencemaran. Jika plastik mesra alam ini digunakan, masalah pembuangan sampah dan pencemaran alam pasti berkurang.

      Laporan menunjukkan bahawa penggunaan plastik di dunia meningkat daripada lima juta tan metrik kepada 100 juta tan metrik sekarang. Purata bagi satu plastik bersamaan dengan 20 000 botol minuman dua liter atay 120 000 beg plastik. Menurut perangkaan, individu di negara ini menggunakan hampir lapan keping beg plastik dalam seminggu. Perangkaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pula menunjukkan bahawa plastik ialah bahan yang terbanyak, iaitu 14 peratus dalam komposisi sampah yang dibuang pada setiap hari selepas sisa organik dan kertas. Kita tidak perlu lagi berfikir untuk mencari tempat melupuskan sampah plastik sekiranya plastik mesra alam ini digunakan.

      Pembakaran plastik sebagai kaedah pelupusan bukan sahaja akan membebaskan bahan toksik malahan gas yang berbahaya akan tersebar ke atmosfera. Hal ini seterusnya mengakibatkan masalah kesihatan seperti asma dan barah paru-paru. Dengan menggunakan plastik mesra ini, kaedah pelupusannya begitu mudah, Masalah kesihatan, iaitu penyakit-penyakit berbahaya seperti barah yang diakibatkan oleh plastik tidak akan wujud dan negara juga akan bebas daripada masalah pencemaran.

Soalan 2(b): Pemahaman

i. Berikan maksud rangkai kata "mesra alam". (2%)

ii. Nyatakan 3 daripada kesan negatif yang wujud apabila pelupusan plastik dilakukan melalui kaedah pembakaran yang dikemukakan oleh pengarang. (3%)

iii. Pada pendapat anda, bagaimanakah cara untuk menggalakkan semua lapisan masyarakat agar menggunakan plastik larut air ini pada masa hadapan? (4%)


Soalan 3: Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa

a.) Tulis satu ayat bagi tiap-tiap kata di bawah untuk menunjukkan bahawa anda faham akan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan atau menggunakan kata itu sebagai peribahasa atau kata nama khas. (7%)

1. terkulat-kulat

2. terkial-kial

3. terbayang-bayang

4. hingar-bingar

5. hina-dina

6. lintang-pukang

7. gegak-gempita 


b.) Tukarkan ayat aktif di bawah kepada ayat pasif tanpa mengubah maksudnya. (6%)

1. Dia menendang bola di kakinya sehingga masuk ke gawang gol lawan.

2. Ibu sudah selesai menjahit seluar ayah yang koyak itu.

3. Kami akan mengadakan majlis sambutan hari jadi adik pada hujung minggu ini.


c.) Dalam setiap ayat di bawah terdapat satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan penggunaan imbuhan. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula. (6%)

1. Semua penuntun terhibur oleh lagu yang didendang oleh Datin Siti Nurhaliza pada malam Anugerah Juara Lagu.

2. Penduduk beberapa buah belok kondominium di Puncak Setiawangsa diarahkan supaya pindah oleh pihak berkuasa secepat mungkin.

3. Walaupun peraturan pakaian tali pinggang kelidar bagi penumpang tempat duduk belakang telah dikuatkuasakan, masih banyak orang yang tidak mematuhinya.


d.) Dalam setiap ayat di bawah terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan bahasa. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula. (6%)

1. Datuk menceritakan tentang kekejaman tentera Jepun kepada kita sewaktu menziarahinya di kampung.

2. Ibu menyiapkan nasi dengan gulai lemak cili api pucuk paku dan goreng ketam untuk makan tengah hari kami sekeluarga.

3. Drama "Meniti Pelangi" itu mengesahkan kegigihan seorang ibu tua yang hidup dalam keadaan serba kekurangan.


e.) Berikan 3 peribahasa yang menggambarkan situasi dalam petikan di bawah. (6%)

      Bertahun-tahun Zaidi mengumpulkan wang sebagai modal sebelum berjaya membuka sebuah restoran. Malangnya restoran itu terpaksa ditutup apabila pengurus yang dilantik untuk menguruskan restoran tersebut telah menipunya. Nasibnya bertambah malang apabila pihak bank mengisytiharkannya sebagai muflis kerana tidak mampu membayar hutang. Bagaimanapun Zaidi tidak berputus asa. Dia berusaha bersungguh-sungguh untuk melunaskan hutangnya dengan berniaga secara kecil-kecilan.

No comments:

Post a Comment